Meramaikan usahawan sosial
PENDEDAHAN Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) bahawa terdapat pasar raya besar memplagiat" produk usahawan perusahaan kecil sederhana (PKS) tidak boleh sesekali dipandang ringan. Ini menggambarkan seolah-olah pihak yang berkenaan tidak mempunyai idea yang berinovasi untuk memasarkan produk-produk yang menepati selera pelanggan. Malang sekali kerana sewajarnya perkara ini tidak berlaku dalam kalangan pasar raya besar tetapi hakikatnya demi keuntungan berlipat kali ganda untuk kepentingan diri sendiri, amalan baik dalam berniaga seperti sentiasa beretika tidak langsung dipedulikan.
Inilah dikatakan sebagai pengaruh sistem kapitalis yang hanya mementingkan keuntungan perniagaan sendiri kerana berasakan mempunyai kekuatan modal. Ahli-ahli perniagaan yang kaya raya bertambah kaya, manakala ahli perniagaan yang baharu bermula dilanggar" agar mereka ini tidak dapat bernafas" dalam dunia perniagaan.
Yang kaya dan kuat melanyak" yang lemah semata-mata materialistik. Malang sekali juga kerana terdapat ramai yang memuja sistem kapitalis walhal terang-terangan sistem kapitalis tidak akan menjadikan ekonomi rakyat lebih sejahtera secara holistik.
Maka, bermulalah era perniagaan sosial bagi membantu menangani permasalahan ini. Amalan kapitalis hanya mementingkan kekayaan pemegang saham secara maksimum. Cara berniaga sebegini perlu dibuang dalam kalangan ahli perniagaan Malaysia dengan meramaikan jumlah usahawan sosial.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan Dana Perniagaan Sosial berjumlah RM20 juta di bawah Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC).
Sebenarnya, kritikan demi kritikan ke atas perniagaan yang berkiblatkan kapitalis menjadikan manusia mencari jalan penyelesaian jangka panjang. Permasalahan manusia tidak akan boleh diselesaikan dengan mengamalkan sistem kapitalis. Malahan, ia akan menjadikan kehidupan manusia lebih teruk. Kemiskinan semakin parah, kesihatan tidak bertambah baik, alam sekitar dinodai" oleh tangan-tangan yang terlalu tamak menyebabkan manusia tidak selamat menghuni dunia ini.
Natijahnya, kekayaan dunia hanya dinikmati oleh segelintir manusia yang tidak berhati perut dan pada masa sama mengejar pengiktirafan kononnya mereka usahawan terulung. Walhal, ramai lagi manusia yang hidup dalam kemiskinan dan wajib dibantu demi kelangsungan hidup.
Perniagaan sosial berpaksikan bantuan kepada yang lemah agar mereka juga berupaya mengubah kehidupan mereka dengan lebih baik. Misalnya melibatkan isu kemiskinan yang mana ia adalah permasalahan sejagat. Bagaimana mungkin sebuah sistem yang mengagungkan kekayaan pemodal mampu membantu orang miskin, sedangkan rohnya" hanya bersifat individualistik. Barat menaja sistem kapitalis sebagai sistem yang terbaik walhal sistem inilah yang banyak membawa keburukan kepada dunia. Inilah natijahnya jika terlalu taksub dengan idea-idea Barat sebelum dikaji dengan menyeluruh mengenai kesannya ke atas masyarakat.
Sistem Barat sendiri terdapat terlalu banyak kelemahan tetapi masih terdapat golongan yang berasakan itulah yang terbaik. Kajilah pelbagai prinsip, idea dan sistem yang digunapakai oleh Barat demi kepentingan masyarakat. Usah hanya menceduk apa sahaja yang diperkenalkan oleh Barat.
Perniagaan sosial sewajarnya bersifat kolektif demi memberi harapan besar yang mampu dicapai untuk golongan yang lemah bagi mengangkat darjat mereka ke tahap yang lebih baik. Di samping membantu golongan yang lemah, usahawan sosial juga masih mampu menjana keuntungan. Perniagaan sebegini akan memperbetulkan kedudukan ekonomi penduduk agar lebih mapan. Persoalan utama yang sewajarnya ditanam kepada usahawan sosial apakah pulangan yang perlu diberikan kepada masyarakat? Di Malaysia, terdapat ruang cukup luas untuk membantu masyarakat dalam pelbagai permasalahan sosial. Terdapat cadangan agar ahli-ahli perniagaan yang memperoleh tender dan kontrak kerajaan menyumbang kembali untuk mengembangkan Dana Perniagaan Sosial di bawah MaGIC.
Umpamanya, satu peratus daripada jumlah kontrak berkenaan. Ini bermakna pada suatu hari nanti, jumlah dana ini akan sentiasa bertambah dan ia boleh diguna kembali oleh usahawan sosial yang lain.
Setiap ahli perniagaan terutamanya yang beragama Islam perlu bertanya kembali apakah sumbangan mereka kepada masyarakat dan bukannya sekadar bertanya apakah yang mereka dapat dengan menjalankan perniagaan.
Konsep perniagaan sosial ini perlu diperluaskan dengan mengambil kira keberkatan dalam menjalankan perniagaan.
Hakikatnya, hidup sebagai orang Islam hanya semata-mata kerana beribadat kepada Allah SWT. Begitu juga, bagi usahawan sosial, amalan perniagaan yang baik bagi memperoleh keberkatan dan keredaan Allah SWT perlu diterapkan dalam setiap urusniaga perniagaan mereka. Sifat tamak dan hasad dengki serta mengambil hak orang lain perlu dibuang jauh-jauh bagi membantu golongan yang lemah.
Mereka yang berjaya pula perlu membantu ahli perniagaan yang baharu bertatih untuk memulakan perniagaan. Bantuan ini tidak semestinya dalam bentuk kewangan tetapi juga dalam bentuk bukan kewangan seperti pemantauan berterusan agar usahawan baharu ini berjaya. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang rata-ratanya diterajui oleh orang Melayu Islam sewajarnya mencontohi konsep perniagaan sosial.
Bantulah yang lemah demi kebaikan umat Islam Malaysia dan seterusnya kebaikan itu bakal dinikmati oleh rakyat secara keseluruhannya.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131115/re_03/Meramaikan-usahawan-sosial#ixzz2wpifhBUW
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment